Tuesday, 30 August 2016

Info Kanser Mulut


Kanser mulut merupakan pertumbuhan tisu yang tidak normal di dalam mulut. Pengesanan dan rawatan kanser mulut di peringkat awal dapat mencegah berlakunya hilang upaya yang teruk dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Kanser mulut sering terjadi di kawasan:
  • Lidah
  • Lantai mulut
  • Bahagian dalam pipi
  • Gusi
  • Lelangit
  • Bibir bawah

Mereka yang mengamalkan tabiat seperti berikut berisiko mendapat kanser mulut:
  • Merokok;
  • mengunyah tembakau;
  • mengunyah buah pinang (makan sireh) dengan atau tanpa tembakau;
  • minum minuman beralkohol yang berlebihan; dan
  • terdedah pada sinaran matahari secara berlebihan.
Tanda-Tanda Kanser Mulut
  • Ulser dalam mulut yang lambat atau tidak sembuh;
  • tompokan putih (leukoplakia) atau merah (erythroplakia);
  • bengkak atau ketumbuhan dalam mulut; dan
  • nafas berbau (halitosis).
Simptom
  • Rasa sakit dalam mulut;
  • kesukaran mengunyah, menelan atau menggerakkan lidah;
  • kebas pada lidah atau dalam mulut; dan
  • kesukaran untuk membuka mulut.
Sumber : Farmashealth

Friday, 26 August 2016

Risiko Rabun Jauh di Malaysia – Dr. Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah

Myopia atau rabun jauh adalah salah satu masalah penglihatan mata yang menjadi epidemik bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Peningkatan yang mendadak, terutamanya di Asia ini menjadikan ia adalah salah satu kebimbangan dalam sektor kesihatan masyarakat awam (public health), terutamanya dari 3 aspek penting. Pertama, peratusan kanak-kanak sekolah yang mengalami rabun jauh di negara-negara maju di seluruh Asia Timur dan Asia Tenggara seperti Singapura, Cina, Taiwan, Hong Kong, Jepun dan Korea, telah dilaporkan meningkat semenjak 50-60 tahun yang lalu.


Di kawasan bandar, 80 hingga 90 peratus daripada pelajar-pelajar yang tamat sekolah menengah mengalami rabun jauh, dan 10 hingga 20 peratus darinya mengalami rabun jauh yang tinggi. Kedua, WHO mengiktiraf bahawa rabun jauh yang tidak dirawat sepenuhnya (kurang rawatan atau tidak dirawat langsung) mampu menyebabkan seseorang itu mempunyai penglihatan yang tidak sempurna (visual impairment). Ketiga, mereka yang mengalami rabunjauh yang tinggi berisiko mengalami komplikasi yang boleh membawa kebutaan, seperti saraf tertanggal (retinal detachment), yang tidak lagi boleh dirawat dengan kacamata atau kanta lekap.

Genetik atau faktor keturunan sememangnya didapati memainkan peranan penting dalam masalah rabun jauh ini. Faktor genetik ini dapat menjangka sama ada individu itu mendapat rabun jauh pada usia muda tetapi stabil sepanjang usia kanak-kanak, mendapatrabun jauh pada usia muda dan keadaan rabun yang semakin parah apabila usia meningkat, atau mendapat rabun jauh pada usia yang lebih tua. Kajian ini turut menunjukkkan, faktor-faktor persekitaran didapati boleh mempengaruhi pembentukan rabun jauh dalam diri individu- individu , terutamanya bagi mereka yang mempunyai seorang atau dua orang ibu bapa yang rabun jauh. Antara faktorrisiko yang ditekankan adalah jumlah waktu seseorang individu itu berada di dalam rumah (atau bangunan), dan jumlah waktu yang dihabiskan untuk melakukan kerja pada jarak dekat.

Sebuah kajian di Sydney Australia, yang telah memeriksa lebih 4000 orang kanak-kanak selama tiga tahun mendapati, kanak-kanak yang lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah, mengalami kurang risiko mendapat rabun jauh 6. Ada sesetengah penyelidik yang mengkaji, kemungkinan penurunan risiko ini disebabkan oleh kanak-kanak itu banyak melakukan aktiviti fizikal semasa di luar rumah. Tetapi kajian yang melihat kanak-kanak yang bermain aktif di dalam rumah (indoor), tidak mengalami pengurangan risiko rabunjauh. Salah satu kajian yang menyokong fakta ini adalah, kajian yang berkaitan bahan bernama dopamin di dalam retina mata iaitu lapisan saraf di dalam mata. Paras dopamin adalah paling tinggi pada waktu siang (suasana terang), dan rendah pada waktu malam, atau digelar perubahan diurnal. Paras dopamin yang tinggi adalah perlu untuk mengelakkan bola mata memanjang, kerana bola mata yang panjang sudah dikenalpasti sebagai penyebab rabun jauh. Apabila seseorang individu itu terlalu banyak menghabiskan masa di dalam rumah, terutamanya kanak-kanak yang asyik bermain permainan video dan alat peranti canggih, terdapat gangguan dalam paras hormon dopamin ini, dan menyebabkan pertumbuhan bola mata yang tidak terkawal. 7 Faedah berada di luar rumah untuk kesihatan mata ini juga adalah disebabkan cahaya yang terang di luar rumah, kecerahan (chromaticity) cahaya matahari pada waktu siang dan khasiat vitamin D.


Selain dari kurang bermain di luar rumah, penggunaan alat permainan video dan alat peranti yang tidak dikawal juga meningkatkanrisiko rabun jauh kerana jarak fokus antara mata kanak-kanak dan alat-alat tersebut terlalu dekat, seperti yang disahkan dalam kajian ke atas 5052 orang kanak-kanak di Beijing, China. Walaupun membaca buku pada jarak dekat juga memberi impak yang sama kepada mata, kanak-kanak yang membaca selalunya tidak mengambil masa terlalu lama berbanding bermain alat permainan video atau alat peranti. Selain itu, apabila terlalu asyik bermain alat peranti, kanak-kanak juga sukar untuk mengambil waktu rehat daripada permainan tersebut, menyebabkan mata mereka terpaksa bekerja keras untuk mengekalkan fokus secara berterusan, dan ini adalah satu lagi faktor peningkatan kes-kes rabun jauh di kalangan kanak-kanak. Disarankan bagi setiap 30 hingga 40 minit melakukan kerja yang memerlukan fokus pada jarak dekat, individu-individu patut mengambil masa beberapa minit untuk merehatkan mata, dengan melihat objek pada jarak jauh.

Selain komplikasi rabun jauh akibat banyak melakukan kerja pada jarak dekat seperti menggunakan telefon pintar atau alat peranti, komplikasi lain penggunaan alat peranti yang terlalu lama termasuklah mata kering akibat kurang berkelip, kabur penglihatan jarak dekat dan jauh (accommodation spasm), sukar mendapatkan tidur yang berkualiti, gelisah apabila berjauhan dari alat komunikasi (anxiety), serta sakit bahagian leher (cervicalgia) dan jari jemari (tendinitis) akibat menghabiskan masa yang panjang dengan alat peranti .

Kesimpulannya , untuk mengurangkan risiko rabun jauh di kalangan kanak-kanak, saya menyarankan agar:
  • Kanak-kanak di bawah usia dua tahun tidak dibenarkan langsung bermain dengan alat permainan video, telefon pintar, alat peranti dan sebagainya kerana mata mereka sedang berkembang dengan sangat pesat.
  • Hadkan masa penggunaan alat peranti untuk anak-anak, sebaiknya kurang dari sejam sehari.
  • Galakkan anak-anak bermain di luar rumah, bagi mendapatkan pencahayaan yang baik, yang seterusnya mempengaruhi kesihatan mata anak-anak yang sedang berkembang
  • Sekiranya anak-anak terpaksa melakukankan kerja pada jarak dekat dengan lama, contohnya membuat kerja sekolah, ibu bapa perlu memastikan ada waktu rehat bagi mata , iaitu 5 minit bagi setiap 30 hingga 40 minit waktu bekerja.
  • Sekiranya sudah terlanjur memberikan anak-anak bermain dengan alat peranti dengan banyak, dan anak-anak mengadu sakit kepala, sukar untuk melihat atau menunjukkan prestasi yang merosot di sekolah, bawalah anak-anak untuk pemeriksaan mata yang lengkap dengan pakar mata di hospital dan klinik terdekat, secepat mungkin.

Tuesday, 16 August 2016

INFO KANSER TULANG

Badan kita mempunyai lebih dari 200 tulang. Fungsi utamanya adalah rangka untuk badan dan melindungi organ-organ utama seperti paru-paru dan hati. Kanser tulang primer berpunca dari tulang sementara kanser tulang sekunder berpunca dari organ-organ lain dan merebak ke tulang (contoh: dari kanser payu dara, paru-paru dan kelenjar prostate)





Kanser tulang sekunder adalah kanser tulang yang paling banyak ditemui. Ia berpunca dari sel kanser yang merbahaya dari organ lain dan telah merebak ke tulang dan ia boleh menyerang ke semua tulang.
  • Gejala dan Tanda
  • Kebengkakkan dan sakit pada kawasan yang terlibat;
  • sakit yang kuat terutamanya pada waktu malam;
  • hilang fungsi anggota;
  • tulang lebih rapuh dan senang untuk patah; dan
  • hilang berat badan dan selera makan.

Pada 2001, nisbah satu dalam 100,000 penduduk di dapati menghidap kanser tulang setiap tahun. Walaupun penyakit kanser ini kurang terjadi berbanding penyakit-penyakit kanser yang lain, namun ia masih perlu dirawat segera sebelum terlambat. Kanser tulang yang lewat dirawat boleh menyebabkan tulang retak dan akhirnya membawa maut.


Friday, 12 August 2016

KANSER PAYUDARA

Secara purata seorang wanita di Malaysia mempunyai 1 per 19 kemungkinan untuk mendapat kanser payudara dalam hayat mereka. Ini bermakna, seramai hampir 700,000 kaum wanita di seluruh Malaysia berhadapan kemungkinan untuk dihantui gejala ini. Risiko tersebut paling tinggi menyerang kaum Cina, diikuti kaum India dan akhir sekali kaum Melayu dengan kadar masing-masingnya adalah 1 per 14, 1 per 15 dan 1 per 24. Menurut laporan yang telah dikeluarkan oleh Daftar Kanser Kebangsaan, kanser payudaratelah menyumbang sebanyak 31% kes kanser bagi golongan wanita yang telah didiagnosis pada tahun 2003.

Namun, perlu diingatkan bahawa kaum lelaki juga tidak terlepas dari bahana kanser payudara. Buktinya, pada tahun 2012 kanser payudara dikesan di kalangan 26 lelaki Melayu, 22 lelaki Cina dan 5 lelaki India. Lebih memburukkan lagi keadaan, Dr. Nik Munirah Nik Mahdi yang merupakan Penyelaras Pusat Sumber Kanser Payudara Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) berkata,kanser payudara yang menyerang golongan lelaki adalah lebih merbahaya kerana sel kanser tersebut lebih aktif dan agresif berbanding sel kanser yang menyerang kaum wanita.


Tanda & Gejala Kanser Payudara
  • Pembentukan gumpalan merupakan tanda biasa yang kekal untuk jangka masa yang panjang;
  • radang, kulit kemerahan atau bengkak akan berlaku jika salur limfa kecil di dalam kulitdan pembuluh limfatik diserang oleh tisu abnormal;
  • kulit akan mempunyai tekstur kupasan oren yang juga dirujuk sebagai "peau d'orange";
  • gumpalan mungkin terjadi di payudara atau di ketiak. Rupa payudara juga akan bertukar melalui penebalan atau pertambahan saiz dan bentuk;
  • kulit payudara kelihatan seperti lekuk atau membentuk rabung;
  • puting akan tenggelam, menjadi merah, bersisik atau mempunyai lelehan yang abnormal; dan
  • apabila ia merebak ke kawasan lain, akan menjelma tanda seperti demam, seram sejuk,sakit tulang dan sendi, sakit kuning, gejala neurologi dan curahan (efusi) pleura.



    Peringkat Kanser Payudara
    • Peringkat I - merujuk kepada kanser payudara pada peringkat awal di mana ukuran melintang tumor kurang dari 2 sentimeter dan belum lagi merebak.
    • Peringkat II - merujuk kepada peringkat di mana ukuran tumor adalah di antara 2 hingga 5sentimeter; atau lebih dari 5 sentimeter tetapi belum merebak; atau kurang dari 2sentimeter tetapi telah merebak ke nodus limfa ketiak.
    • Peringkat III - ialah di mana ukuran melintang tumor telah meningkat ke 5 sentimeter dan telah merebak ke nodus limfa ketiak; atau telah merebak dengan banyaknya ke noduslimfa ketiak; atau telah merebak ke nodus limfa terpencil di dalam tulang selangka atautulang dada.
    • Peringkat IV - pula merujuk kepada situasi di mana kanser payudara telah merebak ke kawasan di luar kawasan dada.

      INFO KANSER PARU-PARU

      Kanser paru-paru merupakan salah satu penyebab utama kematian di Malaysia apabila lebih 4,000 kes pesakit baru dicatatkan setiap tahun. Pada tahun 2007, secara keseluruhanya kanser paru-paru mencatatkan kematian ketiga tertinggi selepas kanser payudara dan kanser kolorektal. Namun, dikalangan lelaki ia menduduki tempat pertama dengan kes sebanyak 15.8%. Kanser paru-paru sering dikaitkan dengan tabiat merokok.

      Punca Kanser Paru-Paru

      Menurut kajian, tabiat merokok merupakan salah satu punca terjadinya kanser paru-paru. Kebanyakan pesakit kanser paru-paru adalah terdiri daripada golongan perokok. Selain itu, pendedahan kepada radiasi dan bahan kimia seperti asbestos, arsenik, kromium dan bahan petroleum juga adalah faktor penyumbang. Faktor terakhir adalah disebabkan oleh pemakanan yang tidak sihat dan mengandungi lemak tepu yang tinggi.


      Simptom Kanser Paru-Paru
      • Batuk berdarah
      • Batuk berpanjangan (tidak sembuh)
      • Jangkitan pada paru-paru dan saluran pernafasan
      • Suara menjadi kasar
      • Badan menjadi lesu dan susut berat badan
      • Sakit pada bahagian tulang dan tulang belakang