Tuesday 29 November 2016

TEKANAN EMOSI PESAKIT KANSER : BAGAIMANA MENGHADAPINYA

Kanser adalah dikategorikan sebagai penyakit kronik yang menakutkan dan mempunyai kesan fizikal dan psikologi yang serius jika tidak ditangani dengan betul.Contoh penyakit kronik lain adalah penyakit kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, sakit buah pinggang dan sebagainya. Sebenarnya tanggapan bahawa penyakit kanser adalah hukuman mati kepada pengidapnya semakin kurang relevan kerana penyakit ini boleh disembuhkan sepenuhnya jika pesakit datang dan dirawat pada peringkat awal. Malahan banyak lagi penyakit-penyakit kronik lain yang lebih memudaratkan.Penyakit kencing manis umpamanya tidak kurang bebannya jika tidak dikawal dengan baik kerana kencing manis boleh menyebabkan komplikasi kepada hampir semua organ badan dan pengidapnya boleh menderita seumur hidup. Begitu juga penyakit darah tinggi, jantung dan penyakit buah pinggang kronik yang telah membunuh berjuta-juta orang manusia setiap tahun, pengidap penyakit-penyakit ini perlu dirawat untuk selama lamanya.Seperti yang saya sebutkan tadi, pada hari ini pesakit kanser yang dirawat boleh sembuh sepenuhnya dan boleh menjalani kehidupan seperti orang lain yang normal. Malahan ramai bekas pesakit kanser yang bukan sahaja sembuh tetapi masih boleh terus menyumbang kepada kemajuan negara, kepada kebajikan dan kebaikan orang lain. Jangan jadikan mengidap kanser ini sesuatu petanda yang anda tidak mempunyai masa depan.

BAGAIMANA MENGHADAPI TEKANAN PSIKOLOGI AKIBAT DARI MENGHIDAP KANSER

Menjalani rawatan kanser tidak bermakna anda mesti melupakan keseronokan hidup. Anda masih boleh berjenaka, bergaul rapat dengan keluarga dan rakan-rakan, mengadakan hubungan seksual, melakukan aktiviti harian dan meneruskan hobi anda. Jika anda merasa ceria dan memenuhi masa lapang dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah, anda tidak akan terlalu memikirkan masalah penyakit anda dan ini adalah sesuatu yang baik untuk kesihatan anda.

Kebiasaannya, anda akan merasa bingung dan tidak tentu arah setelah mengetahui tentang penyakit dan rawatan anda. Ada harinya anda merasa yakin, penuh harapan dan boleh mengawal diri. Pada hari-hari yang lain, anda akan berperasaan sangat negatif. Anda mungkin merasa takut untuk menghadapi penyakit dan merasa tidak berdaya, takut akan kematian atau apa yang berlaku di kemudian hari. Anda mungkin merasa bimbang tentang perubahan yang akan berlaku dalam hidup anda, masalah kewangan atau samada keluarga anda boleh menghadapi situasi ini. Walaupun anda seorang yang selalunya penuh keyakinan, anda mungkin tidak dapat mengelak berperasaan muram jika terus memikirkan perkara-perkara buruk yang akan berlaku.

Walaupun anda boleh cuba menyingkirkan perasaan-perasaan yang negatif dengan cara tidak memikirkannya, adalah lebih baik jika anda belajar untuk menerimanya dan membuatkan mereka yang rapat dengan anda menerimanya juga. Jika anda berjaya menangani masalah-masalah emosi ini, anda akan mempunyai lebih keyakinan diri dan mampu membuat keputusan-keputusan penting. Sikap yang terbuka dan positif akan membuatkan anda lebih kuat dan yakin untuk menghadapi rawatan dan menahan kesan-kesan sampingannya.

Salah satu kaedah yang penting untuk menjaga diri anda dan melawan tekanan perasaan ialah dengan membenarkan orang lain membantu anda.

APAKAH YANG BOLEH ANDA LAKUKAN UNTUK MEMULIHKAN KESTABILAN EMOSI ANDA
  1. Berfikiran positif adalah satu sikap yang akan memberi anda kekuatan untuk menghadapi penyakit kanser. Sesungguhnya kematian itu adalah kepastian, tidak ada sesiapa yang terkecuali dan sesiapa pun tidak tahu bagaimana caranya mereka akan mati. Apa yang penting adalah sentiasa bersyukur dengan pemberian tuhan dan menganggap ini adalah satu ujian dan jika berupaya menghadapi ujian ini, ganjarannya tak ternilai malah lebih besar dari apa-apa saja ganjaran di dunia ini.
  2. Luahkan perasaan anda. Kebanyakan orang akan merasa lega, kurang takut dan tidak kesunyian setelah mereka meluahkan perasaan mereka. Cuba berkongsi perasaan anda dengan mereka yang mengambil berat tentang diri anda. Berbincanglah dengan keluarga, rakan-rakan, pesakit-pesakit kanser yang lain atau doktor keluarga anda bila anda merasa bersedia untuk berbuat demikian.
  3. Keluarga atau rakan-rakan anda mungkin akan merasa kekok untuk bercakap dengan anda atau menawarkan bantuan mereka. Mereka bimbang akan mengeluarkan perkataan-perkataan yang akan menyinggung perasaan anda, dan dengan itu memilih untuk berdiam diri. Hanya anda sahaja yang boleh memberitahu mereka apa yang anda mahu atau perlukan. Mungkin sukar bagi anda untuk meminta bantuan dari mereka, tetapi dengan membenarkan mereka membantu anda, anda sebenarnya membantu mereka juga.
  4. Sertai kumpulan sokongan. Berkongsi pengalaman dan berbincang dengan orang yang sedang atau telah melalui pengalaman atau kebimbangan yang sama semasa menjalani rawatan kanser mungkin boleh membantu anda menjadi lebih tabah. Anda boleh berkongsi melalui perjumpaan dan juga melalui media sosial. Terdapat banyak kumpulan sokongan yang diwujudkan di media-media sosial yang diasaskan oleh bekas pesakit kanser sendiri. Tidak ada orang lain yang lebih memahami perasaan yang dialami oleh pesakit kanser melainkan mereka-mereka yang telah mengalaminya. Salah satu kumpulan sokongan yang ditubuhkan untuk tujuan ini adalah Cancer Survivors Malaysia (CSM). Saya menggalakkan anda untuk bersama kumpulan ini.
  5. Dapatkan rujukan kepada pakar psikologi untuk membantu menghadapi masalah emosi anda jika anda rasakan perlu. Dengan cara ini anda boleh meluahkan perasaan anda kepada seorang yang professional, terutama jika anda mendapati sukar untuk meluahkannya kepada orang lain.
  6. Pelajari cara-cara untuk merehatkan diri. Contohnya: mendengar muzik atau membayangkan perkara-perkara indah dalam kehidupan anda. Teknik-teknik ini boleh dicuba sebelum, semasa atau selepas kemoterapi. Anda juga boleh mencubanya dalam kehidupan seharian.
  7. Kaedah yang terakhir tetapi paling penting adalah melalui mendekatkan diri dengan Tuhan. Bagi anda yang berugama Islam, banyakkan berdoa, membaca al-quran, sembahyang hajat dan memuhasahab diri. Kehidupan di dunia ini cuma hanya sedetik waktu dari kehidupan sebenar di akhirat yang tiada penghujungnya. Penuhilah amalan-amalan yang baik, rajin bersedekah dan membantu orang susah. Inilah masa yang terbaik untuk mengenal diri dan lebih mendekatkan diri dengan Allah. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang dan mengubah apa saja ketentuanNya.

SUMBANGAN YANG BOLEH DIBERIKAN OLEH ORANG YANG MENJADI PENJAGA PESAKIT KANSER.
Sekiranya anda yang membaca buku ini adalah salah seorang yang menjadi penjaga kepada pesakit kanser maka saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kerana anda adalah di antara manusia-manusia mulia yang sabar dan gigih membantu orang yang anda kasihi. Sumbangan anda tidak ternilai harganya. Sumbangan keluarga terdekat terhadap perawatan dan penjagaan pesakit kanser adalah tersangat penting kerana pesakit kanser ini memerlukan bukan saja sokongan fizikal tetapi lebih-lebih lagi sokongan emosi dan mental. Di dalam memberi sokongan kepada pesakit kanser, anda perlu mempunyai pengetahuan bagaimana mengendalikan pesakit ini terutamanya dari aspek sokongan moral dan emosi. Anda boleh membuat kesilapan menambah penderitaan emosi pesakit jika perbuatan dan perkataan anda tidak sesuai. Jadi anda perlu memiliki kemahiran berkomunikasi dengan pesakit kanser.

Berikut adalah beberapa tip untuk anda amalkan supaya dapat mengurangkan beban penyakit kanser yang dihadapi oleh orang tersayang.

1. SOKONGAN MENTAL DAN EMOSI
  • Pesakit sedang mengalami tekanan emosi. Bersabar terhadap karenah mereka terutamanya perubahan ‘mood’ mereka.
  • Berikan semangat dan harapan.
  • Jangan singkirkan mereka dari aktiviti sosial anda. Galakkan mereka melibatkan diri dan lakukannya bersama-sama.
  • Sentiasa bersedia untuk mendengar keluhan dan luahan perasaan mereka pada bila-bila masa.
  • Jangan menjauhkan diri atau mengelakkan diri dari menyentuh mereka. Ingat bahawa kanser tidak boleh berjangkit, sentuhan kasih sayang boleh menjadi ubat yang mujarab untuk menghilangkan keresahan dan tekanan perasaan. Selalu memeluk mereka kerana pelukan mempunyai nilai penyembuhan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
  • Temani mereka semasa menjalani rawatan jika dibenarkan.
  • Temani mereka semasa perbincangan mengenai penyakit atau rawatan.
  • Temani mereka dan ikuti aktiviti-aktiviti kumpulan sokongan.
2. SOKONGAN FIZIKAL
  • Tawarkan diri untuk menyediakan makanan yang berkhasiat untuk mereka
  • Temani mereka semasa makan. Ini boleh meningkatkan selera makan mereka.
  • Hubungi doktor jika pesakit tidak minum selama 24 jam atau tidak mengambil apa-apa makanan selama dua hingga tiga hari.
  • Bantu mereka untuk datang berjumpa dengan doktor seperti meluangkan masa menghantar mereka ke hospital.
3. LAIN-LAIN SOKONGAN
  • Jangan mengeluarkan perkataan dan melakukan perbuatan yang boleh menyakitkan hati mereka. Kasihanilah mereka dan jadikan musibah ini untuk mengeratkan lagi hubungan anda dengan mereka supaya anda tidak rasa menyesal selepas pemergian mereka sebaliknya anda berasa puas dan inilah balasan yang anda terima di dunia ini. Balasan untuk anda di akhirat tentu tak ternilai besarnya.
  • Berdoalah supaya penyakit kanser orang tersayang dapat sembuh dan jika ditakdirkan tidak dapat disembuhkan maka berdoalah supaya mereka diberi kekuatan untuk sabar dan menerima ketentuan Tuhan dengan redha.

No comments:

Post a Comment